KUALA LUMPUR – Pelawak Bell Ngasri atau nama sebenarnya, Nasrizal Ngasri menjelaskan tidak pernah meletak harga bayaran tinggi selepas merangkul trofi Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular.
Bell, 43, bagaimanapun mengakui terdapat sedikit peningkatan harga bayaran yang berlaku di luar kawalannya.
Ini kerana kata pelakon itu, pihak yang menawarkan job atau kerja itu dengan sendirinya yang menaikkan bayaran terlebih dahulu dan bukan atas permintaannya.
“Mungkin (harga) up sikit tapi bukan saya yang up kan. Dia orang sendiri yang up kan. Contohnya program tv pun tak semesti saya yang naikkan harga sebab sudah menang anugerah.
“Tapi harga yang diberikan sehingga saya tanya secara bergurau kenapa dulu tidak beri harga begini dan tidak ada bajet walaupun ada bajet kan?
“Tetapi saya tidak kisah pun dan sebenarnya kerja dalam industri sudah lama dan yang kerja dengan saya semua sudah biasa dengan saya.
“Mereka tahu kerja saya dan menghargai hasilnya. Saya tidak letakkan harga dan jika mereka hargai saya dan tahu bagaimana saya kerja, apa salahnya (hargai).Ini perjalanan seni hidup saya dan mungkin sampai masa dapat harga macam kni,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pengumuman pelantikannya sebagai sebagai duta produk minyak wangi jenama Sky.
Julai lalu, fenomena ‘Barkoba’yang menjadi pencetus kempen melobi Bell Ngasri sebagai Bintang Paling Popular dalam kalangan warga maya, menyaksikan aktor serba boleh itu diumum mengungguli trofi utama sempena Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35.
Mendapat undian peminat lebih dua juta, dia yang sudah berkecimpung dalam industri seni sejak 1986 turut menerima kejutan hadiah sebuah kereta jenis Mini Cooper Clubman S sumbangan pengedar kenderaan import milik Bumiputera, DTC Motors Sdn Bhd.
Mengulas lanjut, Bell meluahkan rasa terharu kerana dipilih menjadi duta minyak wangi buat pertama kali dalam kariernya walaupun sering membawa watak lelaki kampung dan bukan urban.
Jelas bapa tiga anak itu, dia menerima tawaran menjadi duta kerana mahu turun padang bertemu orang yang menyokong dan mengundinya hingga dia berada di tahap sekarang.
“Saya akan turun di Karnival Kedah Best yang turut menjadi rangka promosi bagi memperkenalkan wangian ini pada Disember depan. – MalaysiaGazette