Bekalan diesel diperlukan untuk memastikan generator dapat dihidupkan bagi membekalkan tenaga elektrik di Hospital Europe, Gaza City.

KUALA LUMPUR – PasRelief tampil menyumbang bekalan diesel untuk memastikan generator dapat dihidupkan bagi membekalkan tenaga elektrik di Hospital Europe, Gaza City, Palestin ketika ini.

PasRelief dalam satu kenyataan berkata, mereka terdedah kepada sasaran bedilan rejim zionis kerana dianggap membekal bahan bakar kepada pejuang ketika kerja-kerja penyaluran bantuan bekalan diesel dilaksanakan.

Namun hakikatnya wakil mereka di sana sedang menyelamatkan ribuan nyawa yang kritikal untuk mendapatkan rawatan di hospital.

“Keadaan di sana ibarat antara hidup dan mati, kehabisan bekalan elektrik di hospital boleh menyebabkan ancaman nyawa kepada pesakit yang kian meningkat termasuk bayi, kanak-kanak dan warga emas.

“Serangan demi serangan, sekatan demi sekatan terhadap rakyat Palestin, tidak akan mematahkan usaha malah PasRelief akan terus giat membantu mereka,” kata kenyataan itu.

Hospital dan kemudahan awam terus menjadi sasaran, malah bekalan elektrik juga telah diputuskan.

PasRelief memberitahu, sehingga kini, penduduk Palestin terperangkap dalam keadaan memeritkan dan mengerikan di mana hanya menunggu masa menjadi mangsa bedilan tanpa henti dari rejim zionis.

“Hospital dan kemudahan awam terus menjadi sasaran, malah bekalan elektrik juga telah diputuskan sehingga menjejaskan operasi di hospital-hospital dalam Gaza.

“Mereka terpaksa menggunakan genarator untuk bantuan bekalan elektrik yang memerlukan kepada bahan bakar seperti diesel,” katanya.

Relief turut mengajak dan menyeru kepada semua untuk turut menyumbang buat mangsa perang di Palestin.

Segala bentuk sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank, Tabung Kemanusiaan PASRelief: 5640 7061 4481 atau melalui: https://infaqpay.my/plus/tabung-bantuan-palestine-pasrelief.

“Segala maklumat lanjut boleh hubungi hotline PASRelief di talian 017-500 1144,” kata kenyataan itu.

PasRelief merupakan salah satu entiti Pusat Bantuan Kemanusiaan Antarabangsa Pas yang bertindak sebagai Pusat Koordinasi Bantuan Bencana untuk menerima segala bentuk sumbangan dan bantuan secara sah bagi menjayakan misi kemanusiaan di luar negara. – MalaysiaGazette

Ketika kerja-kerja penyaluran bantuan bekalan diesel di Gaza sedang dilaksanakan.