MELAKA – Kos baik pulih Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Batu Berendam, di sini, yang rosak akibat dibadai ribut petang Sabtu dianggarkan RM3 juta.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, buat permulaan, Kementerian Pendidikan telah menyalurkan bantuan segera RM100,000 untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.
“Kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap bencana ribut yang menimpa sekolah pelajar teramai di Melaka berjumlah kira-kira 2,000 orang ini.
“Saya dimaklumkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) proses baik pulih mengambil masa selama enam bulan melibatkan jumlah peruntukan keseluruhan dianggarkan RM3 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan di sini hari ini. Hadir sama Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata peruntukan awal RM100,000 itu hanya melibatkan kerja-kerja pembersihan dan pembaikan kecil yang akan dilakukan secara berperingkat.
“Pihak sekolah juga akan mengemas kini jadual pembelajaran murid dan berharap ibu bapa supaya bersabar dengan ujian bencana ini,” katanya.
Sabtu lalu, media melaporkan kejadian ribut kira-kira jam 2.30 petang mengakibatkan tujuh blok bangunan sekolah berkenaan yang menempatkan pejabat pentadbiran, bilik guru dan lapan kelas mengalami kerosakan lebih 80 peratus. – MalaysiaGazette