KUALA LUMPUR – Pengerusi dan pegawai masjid yang bakal dilantik untuk menguruskan Tabung Rahmah Madani (TRM) diingatkan lebih telus dan adil ketika melakukan agihan dana kecemasan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ini kerana mereka akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya jika wang TRM diagih secara berat sebelah dan pilih kasih.

“Pengerusi dan Pegawai masjid yang bakal dilantik menguruskan Tabung Rahmah Madani bertanggungjawab sepenuhnya terhadap wang TRM.

“Semua proses terimaan dan penyaluran bantuan tunai perlu menggunakan sistem dan peraturan yang telah ditetapkan.

“Rekod pengeluaran wang tunai serta laporan operasi dan perbelanjaan TRM hendaklah dibuat secara berkala dan diserahkan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP),” katanya, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan TRM di Masjid Imam Al-Ghazali, Bandar Baru Menjalara, Kepong.

Hadir sama Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail.

Dalam pada itu, Na’im mahu institusi masjid bukan sahaja menjadi pusat kutipan zakat, wakaf dan sedekah bahkan sebagai tempat agihan dana dan sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan.

“Jika sebelum ini program gerobok rezeki yang digerakkan bersama JAWI dan MAIWP telah berjaya menarik masyarakat untuk mendekati masjid.

“Kini MAIWP mewujudkan TRM yang merangkumi bantuan kecemasan wang tunai serta program khidmat asnaf,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast