Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hadir pada Program Minggu Solidariti Palestin di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad Razali, Ampang Jaya, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 02 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia memberi input bagi memperkukuh cadangan kerajaan Sarawak untuk melaksanakan sistem penilaian sendiri bagi menggantikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu bagi memastikan pelaksanaan cadangan berkenaan selari dengan hala tuju KPM, iaitu pembangunan holistik melalui pentaksiran, bukannya peperiksaan.

Justeru jelas beliau, perbincangan lanjut berhubung cadangan berkenaan perlu diadakan antara KPM dan kerajaan Sarawak bagi memastikan ia boleh diselaraskan, selain mengelak sebarang implikasi.

“Kita sentiasa menganggap Sarawak sebagai antara negeri contoh yang sentiasa memberi tumpuan kepada pendidikan. Kita akan beri input kepada cadangan berkenaan, khususnya di peringkat Kementerian Pendidikan Sarawak.

“Ini kerana, KPM mahu mengangkat soal pentaksiran dan kekuatan (murid) secara holistik, bukannya berasaskan peperiksaan.

“Justeru, kalau kerangka yang mahu dibangunkan itu bertujuan memperkukuh pentaksiran, pastinya kita akan sokong kerana ia adalah hala tuju KPM,” katanya selepas Program Solidariti Palestin di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad Razali, di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan, kerajaan Sarawak bercadang memperkenalkan sistem penilaian sendiri bagi menggantikan UPSR untuk murid Tahun Enam di semua sekolah kerajaan di negeri itu.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn dipetik berkata, langkah itu sedang diteliti kerana pihaknya percaya ujian berkenaan merupakan penanda aras sebenar untuk menilai prestasi pelajar.

Antara lain, beliau menegaskan, perkara itu penting bagi menentukan penempatan murid terbabit dalam aliran tertentu apabila memasuki peringkat pendidikan menengah.

Sementara itu, ditanya sama ada cadangan berkenaan akan memberi implikasi kepada murid di Semenanjung atau Sabah yang mahu meneruskan pendidikan menengah di Sarawak, Fadhlina berkata, masih terlalu awal untuk membuat sebarang pendirian..

“Jangan risau, Insya-Allah dengan adanya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan perbincangan jawatankuasa, kita sentiasa ada panduan untuk pelaksanaan apa-apa sahaja program pengukuhan di peringkat negeri,” katanya. – MalaysiaGazette