KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan taktik licik ulat atau khidmat kereta sewa haram yang memujuk rayu sebelum menjerat para pelancong dengan bayaran mahal.

Modus operandi itu dilakukan mereka di sekitar Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal KLIA 2 di Sepang.

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, taktik itu terbongkar selepas pihaknya melakukan penyamaran menerusi Ops Ulat yang dilaksanakan sejak Januari hingga Oktober lalu.

Sepanjang tempoh itu, seramai 136 orang ‘ulat’ berusia lingkungan 20 hingga 60-an ditahan termasuk dua daripadanya warga Yaman di kedua-dua lapangan terbang antarabangsa utama di negara ini.

“Selain itu, kita juga berjaya mengambil tindakan sitaan ke atas 136 kenderaan antaranya Perodua Alza, Toyota Camry, Toyota Vellfire dan Toyota Alphard serta Perodua Bezza yang digunakan ulat secara haram untuk memancing penumpang.

“Malah semakan JPJ juga mendapati daripada jumlah itu sebanyak 123 buah adalah kenderaan persendirian manakala selebihnya menggunakan kenderaan awam.

“Ulat ini menawarkan perkhidmatan kereta sewa secara haram kepada orang awam serta pelancong asing yang tiba di balai ketibaan KLIA dan KLIA2 dengan mengenakan caj penghantaran yang tinggi berbanding khidmat teksi biasa atau limo,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Azri bersama pegawai kanannya menyoal kepada dua individu ulat yang dicekup dalam operasi di KLIA Sepang pada hari ini.


Tambah Azrin, ‘ulat-ulat’ itu mendekati, memujuk dan merayu  orang awam atau pelancong yang baru mendarat di KLIA dengan tawaran penghantaran cepat serta harga berpatutan sebelum mengenakan caj yang mahal.

Katanya, siasatan JPJ juga mendapati  ‘ulat-ulat’ menawarkan khidmat teksi haram itu bergerak sendirian di lapangan terbang di mana harga yang ditawarkan lingkungan RM60 hingga RM300 ke Kuala Lumpur dan bergantung kepada jenis kenderaan yang disediakan.

“Hasil operasi penyamaran kami selama dua hari lalu sejak 1 November  ini berjaya mengesan dan menahan tiga  ‘ulat’ atau pemandu kereta sewa haram di lapangan terbang ini (KLIA),” ujarnya lagi.

Mengikut statistik dari 2015 hingga Oktober tahun ini, sebanyak  766 kes ulat yang terlibat dalam penawaran sewa teksi haram telah direkodkan di Selangor dengan seramai 29 individu ditahan dan diambil tindakan mahkamah.

Azrin juga menegaskan, JPJ Selangor memandang serius kegiatan ulat yang bersifat mementingkan diri  dan mengaut untung secara haram dan akan bertindak lebih tegas tanpa kompromi selepas ini untuk membasmi kegiatan berkenaan.

Mana-mana ‘ulat’ yang dikesan bertindak mencabar undang-undang akan diambil tindakan di bawah  Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Seksyen 243(1) akta yang sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast