MELAKA – Berang muzik terlalu kuat, seorang warga Myanmar tergamak mengelar leher rakannya itu di asrama pekerja kilang di Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian disedari pengadu yang juga penyelia hostel berkenaan kira-kira pukul 3 petang selepas mendapati tiga pekerja warga Myanmar sedang bergaduh.
Menurutnya, pengadu ternampak seorang pekerja iaitu suspek lelaki warga Myanmar berusia 28 tahun sedang memegang pisau manakala seorang lagi rakannya berusia 35 tahun sudah berlumuran darah dengan kesan luka di leher.
“Seorang lagi pekerja cuba meleraikan pergaduhan tersebut dengan merampas sebilah pisau potong sayur dari tangan suspek.
“Penyelia kemudian meminta pemandu kilang membawa pekerjanya yang cedera itu ke klinik di Tangga Batu untuk rawatan namun diarahkan ke Hospital Melaka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Christopher, siasatan awal polis mendapati kejadian berpunca apabila mangsa dikatakan memasang muzik terlalu kuat sehingga mengganggu suspek yang sedang mabuk hendak tidur.
“Sepasukan polis dari Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah kemudian berjaya menahan seorang lelaki warga Myanmar di hostel berkenaan pukul 6.50 petang.
“Suspek mengaku terlibat dalam dalam kes berkenaan sebelum di bawa ke IPD Melaka Tengah untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata. – MalaysiaGazette