MELAKA – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka melupuskan hampir 102 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM1.6 juta.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, ia dalah adalah hasil rampasan membabitkan 2,835 kertas siasatan yang dibuka sejak 18 tahun lalu bermula 2004.
Antara dadah yang dilupuskan ialah heroin seberat 2,930.15 gram, kanabis (15,854.05 gram), methamphetamine (6,466.19 gram), ketamin (1,166.04 gram) dan nimetazepam (253.63 gram).
Selain itu adalah cecair Mitragynine (60,067.80 liter), pepejal mitragynine (13,095.20 gram), codeine (1,052.39 mililiter) dan lain-lain racun (1,002.81 gram), katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Zainol, kesemua barang kes itu tersebut telah selesai dianalisa oleh Jabatan Kimia serta proses prosiding perbicaraan di mahkamah.
“Pelupusan menggunakan khidmat kepakaran dan kemudahan milik syarikat Kualiti Alam Sdn. Bhd. di pusat pelupusan Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.
“Ia bertujuan memastikan proses pelupusan barang kes dibuat mengikut piawaian alam sekitar dan prosedur pelupusan barangan berjadual,” katanya.
Tambah Zainol, pihaknya sentiasa komited serta serius dalam membanteras sebarang penyalahgunaan dadah dan berharap masyarakat dapat terus membantu dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis. – MalaysiaGazette