Gambar hiasan

PULAU PINANG – Perang antara Israel dan Palestin telah menyebabkan kenaikan harga emas secara mendadak dan harganya  dijangka terus melambung buat seketika.

Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Perniagaan Emas dan Permata Malaysia, Chiah Hock Yew berkata, harga emas pernah menurun pada September, tetapi perang di Timur Tengah telah mengubah trend harga itu.

Beliau berkata, perang tersebut menyebabkan harga emas melonjak tujuh peratus dalam tempoh sebulan.

“Seketika dahulu, disebabkan harga emas yang melambung, ramai orang mengunjungi kedai emas untuk menjual emas mereka.

“Namun begitu, kini sudah ada orang yang mula membeli emas kerana mereka menyedari bahawa perang Israel dan Palestin tidak akan berakhir dalam masa terdekat dan emas mempunyai nilai yang lebih kukuh,” katanya kepada Kwong Wah Yit Poh.

Katanya, perniagaan kedai emas bagaimanapun tidak serancak seperti sebelum pandemik berlaku.

Menurutnya, membeli emas juga seperti amalan menabung yang boleh dilakukan tanpa mengira kekayaan seseorang kerana orang biasa masih boleh membeli emas dalam bentuk kepingan kecil.

“Satu ketika dahulu, nilai ringgit berbanding dolar Amerika adalah RM3 berbanding AS$1, tetapi kini telah mencecah RM4.70 kepada AS$1.

“Ini bermakna jika anda menyimpan emas pada masa itu, nilai aset anda tidaklah mengalami penyusutan secara mendadak,” katanya. – MalaysiaGazette