TEL AVIV – Kira-kira 100 doktor Israel telah menandatangani surat terbuka menyeru tentera negara Zionis tanpa rasa takut atau simpati mengebom hospital di Gaza.
Surat tersebut yang dikongsi di media sosial dalam bahawa Ibrani menuduh pusat kesihatan di Gaza telah digunakan sebagai markas oleh Hamas.
Menurut mereka, kerajaan Israel mengebom hospital-hospital terbabit kerana penduduk Gaza telah membiarkan pusat kesihatan dijadikan sebagai markas Hamas.
Isi kandungan surat itu juga menyatakan adalah menjadi kewajipan pihak tentera menyasarkan hospital di seluruh Gaza.
“Merekalah (penduduk Gaza) yang membawa kemusnahan ke atas diri mereka sendiri,” menurut isi kandungan tersebut.
Kementerian Kesihatan Palestin sebelum ini berkata, terdapat 35 hospital di Gaza dengan 16 daripadanya tidak lagi beroperasi sama ada telah rosak atau tidak mempunyai kelengkapan.
Regim Zionis sebelum ini mendesak supaya pasukan perubatan Palestin mengosongkan 22 buah hospital di utara wilayah Gaza dan menuduh hospital terbesar Al-Shifa dijadikan markas Hamas.
Sejak keganasan tercetus pada 7 Oktober lalu, Israel telah berulang kali mengebom hospital di wilayah Palestin yang dikepung.
Ini termasuk Hospital Al-Ahli di utara Gaza yang musnah dibom sehingga meragut hampir 500 nyawa termasuk pesakit dan orang awam.
Selain hospital, Israel turut menyasarkan ambulans yang membawa penduduk Gaza yang cedera selepas kediaman mereka dibedil.-Agensi