ALOR GAJAH – Hati ibu mana tidak hiba mengenangkan anak yang baru meningkat remaja terpaksa bergelut dengan derita radang buah pinggang, sejak Disember tahun lalu.
Lebih memilukan Fasehha Radzuan, 34, apabila hasil ujian sampel buah pinggang mendapati, bacaan kreatinin anaknya ketiganya itu, Nur Najihah Mohd. Fadzli, 15, mencecah sehingga 1,100, umol/L.
Bacaan itu, 110 kali ganda lebih tinggi berbanding, normal di bawah 100 umol/L sebelum remaja itu disahkan menghidap IgE atau nama saintifiknya Imunoglobulin E.
“Akibatnya, Jiha (Nur Najihah) kini terpaksa melakukan rawatan dialisis namun apa yang memilukan saya apabila doktor memaklumkan peringkat usianya itu sebenarnya tidak sesuai untuk membuat rawatan tersebut.
“Sebab itu, badan Jiha semakin lemah dan jalan terbaik bagi mengurangkan penderitaannya itu adalah melalui pemindahan buah pinggang daripada penderma yang sesuai,” kata Fasehha ketika ditemui rumahnya di Tanjung Dahan, Kuala Sungai Baru di sini.
Mengulas lanjut Fasehha berkata, selepas membuat 21 ujian padanan untuk menjadi penderma, buah pinggangnya lebih sesuai berbanding suami, Mohd. Fadzli Baharudin, 42, yang turut menghidap penyakit darah tinggi.
“Ikutkan Jiha boleh dibedah di hospital kerajaan sahaja kerana tidak melibatkan kos yang tinggi namun perlu tunggu giliran sedangkan kesihatannya semakin lemah.
“Sebab itu, doktor mencadangkan kami cari hospital lain dan setakat ini Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor boleh melakukan pembedahan namun kosnya dianggarkan mencecah RM50,000,” katanya.
Tambahnya, walaupun dia dan suami mendapat bantuan bulanan daripada Lembaga Zakat negeri, Majlis Agama Islam Melaka dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, jumlah itu tidak cukup untuk keperluan harian termasuk perbelanjaan tiga lagi anaknya berusia 4, 13, dan 16 tahun.
“Saya ada juga jual nasi lemak secara kecil-kecilan untuk membantu suami sebagai tukang servis penapis air yang berpendapatan sekitar RM2,000 sebulan, namun jumlah RM50,000 itu terlalu besar untuk kami” katanya menahan sebak.
Orang ramai yang ingin membantu menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun bank CIMB 7637954664 (Fasehha Radzuan) atau menghubunginya di talian 017-6361073. – MalaysiaGazette