MELAKA – Berpura-pura jadi pelanggan membeli churro sebelum melarikan bekas wang tunai berisi kira-kira RM700.
Itu taktik keji dilakukan lelaki berusia 23 tahun di sebuah kedai di Taman Duyong Bestari, di sini, Jumaat lalu sebelum berjaya ditahan polis petang semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian kira-kira 5.15 petang Jumaat lalu, suspek menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Ketika pembantu gerai wanita berumur 19 tahun itu sedang menyiapkan pesanan diminta, suspek tiba-tiba melarikan bekas berisi wang tunai kira-kira RM700 yang berada di atas meja.
“Hasil siasatan dan maklumat sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah kemudian berjaya memberkas suspek kira-kira 4.15 petang semalam di Medan Selera Taman Merak Mas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, semakan lanjut mendapati, suspek yang bekerja sebagai pembantu di gerai bapa mentuanya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
“Polis turut merampas barang kes iaitu sebuah motosikal, telefon bimbit serta dadah dipercayai jenis syabu seberat 0.55 gram.
“Suspek ditahan di lokap Balai Polis Melaka Tengah dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya. – MalaysiaGazette