KUALA LUMPUR – Pendekatan ‘satu saiz untuk semua’ dalam pendidikan tinggi sudah tidak relevan dalam memenuhi keperluan pelajar pada masa kini dan masa depan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dalam dunia pendidikan tinggi konvensional sering wujud konflik antara fleksibiliti dalam pendidikan dan keperluan untuk mempertahankan kualiti serta piawaian tertentu.
Bagaimanapun, katanya, sinergi antara fleksibiliti dan kualiti penting kerana fleksibiliti membolehkan kita menyesuaikan diri dengan dinamik pembelajaran masa hadapan.
“Pembelajaran masa depan memerlukan kita untuk menunjukkan daya tahan dan ketangkasan semasa kita mengharungi pelbagai cabaran. Oleh sebab itu, masa depan pembelajaran sepanjang hayat di Malaysia memerlukan fleksibiliti pembelajaran lebih berstruktur yang mampu meningkatkan ketahanan kita terhadap pendidikan masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Agensi Kelayakan Malaysia 2023 (MQAIC 2023) di Kota Kinabalu, hari ini.
Persidangan dua hari itu dihadiri 300 orang peserta terdiri daripada pakar jaminan kualiti, pembuat dasar, ahli akademik, pegawai bahagian jaminan kualiti IPT, pemain industri dari United Kingdom, Jerman, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Hong Kong, Taiwan, China dan Indonesia.
Mohamed Khaled berkata, semasa bergerak ke arah amalan pendidikan yang lebih fleksibel, pelarasan struktur jaminan kualiti aktiviti pembelajaran dan kebolehpindahan kelayakan perlu diwujudkan.
Sebagai contoh, katanya, perlu wujud penandaarasan kualiti berbeza antara pembelajaran konvensional, pembelajaran dalam talian, hibrid serta antara macro-credentials dan micro-credentials.
Katanya, beliau melihat potensi besar dalam pembangunan kelayakan micro-credentials yang melangkaui faedah ekosistem upskilling dan reskilling.
“Sehubungan itu, Institusi Pendidikan Tinggi di Malaysia boleh mengambil kelebihan kerjasama dengan industri untuk menghasilkan produk pendidikan yang membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan seterusnya menawarkannya kepada pelajar antarabangsa pada masa akan datang.
“Kini, terdapat perkembangan yang sangat positif terhadap penawaran micro-credentials oleh IPT tempatan serta program upskilling dan reskilling yang dipromosikan oleh kerajaan dan pihak industri,” katanya.
Menurut beliau lagi, MQA juga telah menerbitkan beberapa garis panduan untuk menyokong kebolehpindahan, kebolehan timbunan dan pengumpulan pembelajaran ke arah penganugerahan kelayakan bertauliah MQA.
Beliau berkata, micro-credentials mampu menyokong kelestarian pembelajaran sepanjang hayat, terutama bagi mereka yang bekerja dan memerlukan pendekatan pembelajaran yang fleksibel.
“Inisiatif ini juga boleh membantu usaha kerajaan untuk melahirkan lebih tenaga mahir dan bakat tempatan yang berkelayakan, namun banyak lagi yang perlu diterokai dan diperbaharui untuk laluan pembelajaran fleksibel di Malaysia.
“KPT sedang meneliti setiap dasar dan kerjasama strategik untuk menyokong aspirasi kerajaan untuk melahirkan masyarakat madani yang berilmu dan sejahtera,” katanya. – MalaysiaGazette