MELAKA – Semua 233 buah sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di negeri ini sedia menjadi pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir pada musim tengkujuh bermula bulan ini.
Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka, Karim Tumin berkata,
KPM sudah melancarkan jawatankuasa bencana khusus untuk menghadapi peralihan Monsun Timur Laut (MTL).
“Semua 233 buah sekolah di Melaka sedia menjadi PPS namun hasil perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negeri, kita akan gunakan sekolah rendah dahulu yang jumlahnya lebih separuh sebagai PPS.
“Sebabnya kita tak mahu ganggu pelajar di sekolah menengah yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis sumbangan baju raya kepada pelajar sekolah kurang berkemampuan sempena Deepavali di Little India di sini hari ini.
Sumbangan kepada 30 pelajar sekolah itu hasil inisiatif Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP. Shanmugam.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Karim berkata, kerja-kerja baik pulih Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Batu Berendam yang rosak dibadai ribut petang 28 Oktober lalu kini sudah 40 peratus siap.
“Kita jangka ia siap lebih awal dari anggaran masa sebelum ini selama enam bulan sekali gus membolehkan sekolah beroperasi seperti biasa sebelum Mac tahun depan,” katanya.
Hujan lebat dan ribut bulan lalu mengakibatkan tujuh blok bangunan sekolah berkenaan yang menempatkan pejabat pentadbiran, bilik guru dan lapan kelas mengalami kerosakan lebih 80 peratus. – MalaysiaGazette