MELAKA – Kes samun berkawan tanpa senjata api di Melaka tahun ini meningkat 113.4 peratus bermula Januari hingga Oktober berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata,peningkatan sebanyak 34 kes itu adalah daripada 30 kepada 64 kes.
Turut meningkat dalam tempoh sama adalah kes rogol sebanyak 62 kes (meningkat 10 kes), pecah rumah curi, 343 kes (9), curi motosikal 203 kes (15), dan curi motokar 45 kes (22).
“Secara keseluruhannya, kes jenayah di Melaka meningkat 2.4 peratus atau 28 kes iaitu daripada 1,149 kes kepada 1,177 kes manakala bagi jumlah kes yang berjaya diselesaikan pula adalah sebanyak 1,177 dan 812 kes lagi masih dalam siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kempen cegah Jenayah dan Walkabout Sempena Sambutan Perayaan Deepavali 2023 di Kampung Chetti, Gajah Berang di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Zainol menasihati masyarakat untuk membantu polis mengurangkan indeks jenayah negeri melalui inisiatif Borang Maklum Balas Balik Kampung.
Usaha itu jbagi memudahkan pihak berkuasa melaksanakan pemantauan dan rondaa di kediaman atau premis yang ditinggalkan sepanjang cuti perayaan.
“Selain boleh mengisi borang itu yang boleh didapati di balai polis berhampiran, mereka juga boleh menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) untuk pemakluman balik kampung.
“Setakat ini sebanyak 39 maklum balas balik kampung diterima menerusi VSP dan kita juga telah edarkan kira-kira 100 borang itu kepada wakil penduduk,” katanya. – MalaysiaGazette