MELAKA – Kegembiraan seorang wanita melarikan jongkong emas bernilai RM29,000 dari sebuah kedai emas di Jalan Kampung Jawa di sini hanya bertahan lapan hari sebelum diberkas semalam.
Suspek berusia 25 tahun itu dicekup pasukan Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah pukul 6.45 petang di sebuah rumah di Taman Malim Jaya, di sini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek telah masuk ke kedai emas berkenaan pukul 4.30 petang, 30 Oktober lalu.
“Suspek kemudian meminta pekerja mengeluarkan satu jongkong emas 999 seberat 100 gram kononnya untuk melihatnya.
“Selepas membeleknya kira-kira tiga minit, wanita itu tiba-tiba melarikan emas itu menaiki sebuah kereta jenis Nissan Livina bersama-sama dua lagi individu di dalam kenderaan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, hasil siasatan polis berjaya mengesan seorang wanita dengan nama panggilan Ming Ming di sebuah rumah dipercayai disewa.
“Pemeriksaan di premis menjumpai botol yang di dalamnya mengandungi satu plastik lutsinar gold bar bertulis Suisse 100 gram 999.
“Suspek kemudian mengaku terlibat dalam kes dilaporkan dan satu kes di Tengkera yang sedang disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan, kerana mencuri wang di sebuah restoran tempat dia bekerja,” tambahnya.
Menurut Christopher, suspek turut mengaku merancang untuk menjual jongkong emas itu selepas dibuang kerja sebelum ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette