Allex (dua dari kanan) merasmikan pemantauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2023 di sebuah pasaraya di Banda Hilir di sini hari ini.

MELAKA – Harga ayam di negeri ini dijual serendah RM5.99 sekilogram (kg) meskipun kerajaan telah menamatkan sepenuhnya subsidi dan harga kawalan ayam bermula 1 November lalu.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Allex Seah Shoo Chin berkata, harga berkenaan didapatinya sendiri menerusi semakan di aplikasi PriceCatcher.

“Contohnya sekarang harga satu kg ayam ada premis yang jual serendah RM5 lebih, RM7 tapi tak lebih daripada RM9.40 walaupun harga sudah terapung.

“Sebab itu pengguna perlu bijak untuk buat perbandingan supaya dapat mendorong peniaga berlawan harga menjadi lebih rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pemantauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2023 di sebuah pasaraya di Banda Hilir di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka Rohaimi Mohamed Zawawi.

Mengulas lanjut, Allex berkata sebanyak lapan barangan disenaraikan di bawah skim kawalan harga itu berkuat kuasa tujuh hari bermula 9 hingga 15 November ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan penamatan subsidi dan harga kawalan bagi ayam sepenuhnya bermula 1 November lalu selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa.

Subsidi serta kawalan harga bagi telur ayam gred A, B dan C bagaimanapun tetap diteruskan menggunakan mekanisme sedia ada. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast