MELAKA – Kurang 78 jam meraikan Deepavali, seorang wanita warga emas dilaporkan hilang sekitar Sungai Melaka di Taman Merdeka Jaya, di sini, hari ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Zahrul Azha Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian pada pukul 9.19 pagi tadi.
Menurutnya, setibanya pasukan di tempat kejadian pihak polis memaklumkan terdapat seorang wanita India berumur 75 tahun hilang di sekitar kawasan Sungai Melaka sejak pukul 7.30 pagi.
“Bomba dengan kekuatan 19 anggota termasuk dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Melaka Tengah dan polis kemudian membuat pencarian di sekitar kawasan darat dan sungai namun mangsa gagal ditemui.
“Setelah berbincang bersama ahli keluarga mangsa, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dihentikan pada pukul 5.44 petang tadi,” katanya.
Sementara itu, insiden tersebut turut mendapat perhatian Persatuan Sukarelawan Bencana Melaka (PSBM).
Pengerusinya, Ashwad Abd Rahim berkata, sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif membantu mangsa bencana, mereka sedia membantu sesiapa sahaja tanpa melihat warna kulit dan agama.
“Sebab itu malam ini saya dan beberapa ahli akan ke rumah mangsa untuk melihat apakah bantuan yang diperlukan untuk mencari insan tersayang.
“Tambahan pula kejadian ini berlaku tiga hari menjelang Deepavali, jadi tentunya keluarga mangsa sangat mengharapkan bantuan ini,” katanya. – MalaysiaGazette