Hamdihafizi Ab Karim, 33, didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah memiliki 41 pucuk senjata tiruan, Ogos lalu.

MELAKA – Seorang peniaga barangan hobiĀ  didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah memiliki 41 pucuk senjata tiruan pada Ogos lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Hamdihafizi Ab Karim, 33, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati memiliki 41 pucuk senjata tiruan seperti pistol, rifle dan shotgun selain busur dan ball bearing tanpa kebenaran yang sah di sebuah premis di Lot 86, Jebat Street Klebang, kira-kira pukul 10 malam 14 Ogos lalu.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi satu tahun atau denda sehingga RM5,000 mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah denda yang minimum memandangkan hanya bekerja sebagai peniaga barangan hobi.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat selain kebenaran mahkamah untuk melupuskan kesemua senjata tiruan itu.

Mahkamah kemudian mengenakan denda RM1,500 atau penjara enam bulan jika gagal bayar serta membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melupuskan barang kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast