SUBANG JAYA – Industri perbankan kini menghadapi saingan daripada platform pembayaran yang sebelum ini tidak bermula sebagai bank atau platform pembayaran, kata Ketua Ekonomi Bank Dunia Apurva Sanghi.
Mengambil contoh Grab, yang kini menjadi bank digital pertama diluluskan beroperasi di Malaysia, dan Gojek di Indonesia, yang kedua-duanya bermula sebagai aplikasi e-panggilan, katanya.
Beliau berkata, platform ini kini bergerak pantas ke bidang perbankan konvensional dengan memanfaatkan data sebagai cagaran dan seterusnya mengganggu perbankan.
“Platform ini jauh lebih pantas dan murah berbanding bank konvensional.
“Kita semua dapat melihat faedah daripada persaingan itu seperti yuran pertukaran berkurangan, kos kiriman wang juga menurun, malah SWIFT juga telah mengurangkan yuran permesejannya,” katanya dalam ucap tama pada Sidang Kemuncak Perbankan dan Kewangan Institut Kepemimpinan dan Strategi Asia (ASLI) 2023 di sini hari ini.
Beliau berkata ancaman gangguan lain yang dihadapi oleh bank adalah daripada bank pusat dalam bentuk Mata Wang Digital Bank Pusat (CBDC).
“CBDC pada asasnya adalah tunai digital tetapi disediakan terus oleh bank pusat kepada rakyat.
“Ini mengganggu kerana ia membawa kepada menarik perantaraan dengan menarik keluar deposit daripada sistem perbankan dan dengan meletakkan bank pusat selangkah lebih dekat dengan rakyat dan mungkin mencairkan peranan ‘bank-of-all-bank’ mereka,” katanya.
Sidang kemuncak itu dianjurkan bersama oleh ASLI, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-SDSN) dan Sunway University. – BERNAMA