Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad bercakap kepada media selepas selesai merakam keterangan atas dakwaan Lim Guan Eng mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pemimpin komunis dan akan disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ketika di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Foto MOHD ADZLAN, 14 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Bukit Aman mengambil masa sejam merakam kenyataan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad..

Menurut Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Pulau Pinang itu, beliau disiasat di bawah isu 3R (Raja, Agama, Kaum) dan telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dengan menjawab 10 soalan daripada pegawai penyiasat.

“Mudah-mudahan segala keterangan yang diberikan dapat memudahkan segala urusan. Kita telah berikan keterangan yang diminta dan kita akan teruskan apa yang sepatutnya atas nasihat peguam saya.

“Kalau berkaitan dengan isu saya ini, isu 3R,” katanya kepada media di pintu hadapan IPP Bukit Aman, hari ini.

Pada masa sama, Siti Mastura berkata, beliau turut tertanya-tanya berhubung kenyataan 3R oleh Lim Guan Eng semasa kempen pilihan raya negeri Kedai Julai lalu.

Ketika itu, Guan Eng didakwa membuat ‘gelombang hijau’ bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Siti Mastura memasuki pekarangan Bukit Aman jam 11 pagi dan keluar jam 12.30 tengahari tadi.

Siti Mastura disiasat pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

Menurut peguamnya, Ahmad Amzar Ahmad Azlan, ketika sesi merakamkan keterangan sebenar tadi, pihaknya telah mengemukanya beberapa bahan bukti atas percakapan Siti Mastura di Kemaman, baru-baru ini.

“Kita ada beberapa bahan rujukan yang telah kita kumpul dan serahkan tadi. Sama ada bahan tersebut relevan atau tidak, kita serahkan kepada polis untuk buat siasatan,” katanya dalam sidang media sama.

Dalam pada itu, Ahmad Amzar berkata, anak guamnya berpandangan kenyataan itu adalah seperti yang diungkapkan ketika itu.

“Buat masa ini, kenyataan itu seperti yang dibuat dan biar pihak polis buat siasatan. Sekiranya ada apa tindakan berlainan kita akan teliti selepas kita buat penelitian.

“Sama ada kenyataan itu akan diubah ataupun ditarik mahupun permohonan maaf ataupun lawan, selepas kita teliti (tuntutan). Kita baru terima surat tersebut dan kita belum sempat nak bincang.

“Buat masa ini kenyataan seperti yang dikatakan. ‘As it is’. Seperti yang telah dicakap (oleh Siti Mastura) tiada perubahan,” kata Ahmad Amzar lagi.

Mengulas lanjut, Ahmad Amzar berkata, anak guamnya ada menerima empat surat tuntutan (LOD) daripada empat individu berbeza iaitu dari Tan Sri Lim Kit Siang; Pengerusi DAP, Lim Guan Eng; isteri kepada Guan Eng, Betty Chew dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

“Keempat-empat mereka telah menghantar surat tuntutan kepada pejabat Siti Mastura dan kita akan teliti, tindakan susulan akan dibuat setelah diteliti tuntutan itu.

“Buat masa ini kita belum teliti apa tuntutan tapi berkemungkinan berkait rapat dengan ucapan Siti Mastura,” jelas Ahmad Amzar lagi.

Untuk rekod, setakat ini enam laporan telah diterima terhadap Siti Mastura dan kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 10 November lalu, Guan Eng memulakan tindakan undang-undang terhadap Siti Mastura kerana mendakwa beliau memiliki hubungan keluarga dengan pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng, atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, dan Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew.

Guan Eng memberi masa dua hari (hingga Khamis lalu) untuk Siti Mastura mengemukakan bukti berkenaan dakwaan itu, selepas tempoh 48 jam diberikan, beliau memulakan tindakan undang-undang terhadap ahli Parlimen itu.

Dalam rakaman video berdurasi 46 minit 51 saat, Siti Mastura pada majlis ceramah politik di Kemaman, Terengganu didakwa mengaitkan Kit Siang sebagai sepupu Chin Peng.

Selain itu, beliau juga mendakwa Kuan Yew sebagai sepupu Kit Siang dan mengaitkan isteri Guan Eng, Betty Chew bersepupu dengan Teresa Kok.

Beliau juga didakwa mengaitkan pemimpin DAP lain, termasuk Setiausaha Agungnya merangkap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Naib Pengerusi Kebangsaan DAP dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ahli Parlimen Bruas, Ngeh Koo Ham dan Teresa mempunyai hubungan kekeluargaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast