Suhaimi Saad.

KUALA LUMPUR – Bekas anggota kumpulan In-Team, Suhaimi Saad meninggal dunia selepas menghembus nafas terakhir pukul 7.40 malam ini.

Berita itu disahkan oleh seorang anggota kumpulan Devotees, Ahmad Shauqi di Facebook miliknya.

“Sahabat kami Suhaimi Saad telah kembali kepada pencipta-Nya sebentar tadi sekitar jam 7.40 malam. Semoga Allah tempatkan roh beliau bersama para soleh.

“Saya memang dah lama tak jumpa dia secara fizikal, tapi saya kerap join live TikTok dia bersembang umpama adik dan abang.

“Biar pun org nak kata apa tentang beliau, pada saya beliau sahabat yang sangat baik. Semoga perkongsian dan amal beliau membawa beliau ke syurga,” tulisnya.

Semalam isterinya, Ina Naim memberitahu, suaminya menunjukkan perubahan semakin baik namun masih ditidurkan.

Ina atau nama sebenarnya Nordiana Mohd Naim berkata, suaminya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di sebuah hospital di Johor Bahru sejak lima hari lalu kerana jangkitan kuman pada paru-paru.

“Setakat ini, doktor maklumkan suami alami jangkitan kuman pada paru-paru. Hasil ujian pertama, doktor mengesahkan Suhaimi bebas tuberculosis (tibi).

“Untuk sahkan lagi, doktor sudah jalankan ujian kedua tetapi kami masih menantikan keputusan.

“Buat masa ini, suami masih ditidurkan dan doktor maklumkan keadaannya kritikal, tetapi semalam oksigen berada pada tahap normal. Cuma jantungnya masih laju sekitar 130,” katanya semalam. – MalaysiaGazette