Abdul Qayyum Mokhtar, 30, dijatuhi hukuman 12 tahun penjara dan tiga sebatan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah melakukan rompakan tiga kedai serbaneka selama tiga hari berturut-turut awal bulan ini.

MELAKA – Seorang lelaki dijatuhi hukuman 12 tahun penjara dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini selepas mengaku bersalah melakukan rompakan tiga kedai serbaneka selama tiga hari berturut-turut awal bulan ini.

Hakim Mohd Sabri Ismail dan Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan tertuduh Abdul Qayyum Mokhtar, 30, dalam dua prosiding berasingan.

Mengikut pertuduhan di hadapan Mohd Sabri, tertuduh dengan niat telah melakukan rompakan bersenjatakan sepucuk pistol tiruan dan satu stapler gun dengan melarikan lapan kotak rokok dan wang tunai berjumlah RM467 milik pasar raya KK Mart.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Bendahara, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira 2.15 pagi 2 November lalu.

Tertuduh turut didapati melakukan rompakan bersenjatakan sebilah pisau dan satu stapler gun serta melarikan 10 kotak rokok dan wang tunai berjumlah RM600 milik KK Supermart & Superstore.

Kesalahan itu dilakukan di kedai serbaneka itu di Taman Seri Cempaka, Peringgit, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira 3.28 pagi 4 November lalu.

Sementara itu bagi pertuduhan di hadapan Darmafikri tertuduh telah melakukan rompakan bersenjatakan sebilah pisau dan melarikan 10 kotak rokok dan wang tunai berjumlah RM421 milik KK Supermart & Superstore.

Kesalahan itu dilakukan di Taman Semabok, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira 2.30 pagi 3 November lalu.

Semua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 397 kanun yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebat.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran dan sebatan kerana kesalahan rompakan menggunakan senjata menyebabkan ketakutan terhadap semua mangsa hingga menyerahkan wang dan barangan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya bagaimanapun memohon hukuman ringan kerana menanggung dua anak berusia lima dan dua tahun selain menjaga ibu tunggal yang mengidap sakit jantung.

Hakim Mohd Sabri dan Darmafikri kemudian menjatuhkan hukuman empat tahun penjara dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan.

Hukuman penjara diarahkan berjalan secara berasingan selepas tamat tempoh bagi setiap kesalahan. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast