MELAKA – Seorang wanita dijatuhi hukuman lima bulan penjara dan denda RM11,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, selepas mengaku bersalah mencuri satu jongkong emas dan duit bekas majikannya Oktober lalu.
Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Goh Min Xiu, 25, yang membuat pengakuan sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh dengan niat curang telah mencuri satu jongkong emas 999 seberat 100 gram bernombor C388364 yang bernilai RM25,393.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah kedai emas di Jalan Kee Ann dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 4.30 petang, 30 Oktober lalu.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan juga boleh dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua dan kemudiannya hendaklah diseksa dengan penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang masih bujang didapati dengan niat curang mencuri wang tunai berjumlah RM2,427 kepunyaan bekas majikannya.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah restoran di Jalan KPKS 5, Kompleks Perniagaan Kota Syahbandar dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 10 malam 22 Oktober lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal mengambil kira nilai emas yang tinggi dan perbuatan mencuri duit majikannya sendiri.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam nada sebak kemudian merayu hukuman ringan kerana perlu menjaga ibu yang sakit selain sudah menyesal dengan perbuatannya itu.
Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, Khairunnisak menjatuhkan hukuman tiga bulan penjara dari tarikh ditangkap pada 7 November lalu dan denda RM10,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar bagi kesalahan mencuri jongkong emas.
Bagi kesalahan mencuri wang tunai, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selepas tamat hukuman kesalahan pertama dan denda RM1,000 atau satu bulan penjara jika gagal bayar. – MalaysiaGazette.