Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke tidak berhasrat menyaman Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad yang mendakwanya mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.

Beliau berkata, walaupun dakwaan itu tidak berasas namun ia tidak mempunyai konotasi negatif untuk mengaitkan dirinya mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Ketua Parti Komunis Malaya Chin Peng.

“Saya beritahu saudara Guan Eng, saya melepaskan Ahli Parlimen Kepala Batas, saya tak mahu saman dia. Oleh kerana dia kata saya sepupu atau ada talian kekeluargaan dengan Guan Eng dan Kit Siang, saya kata saya tak boleh saman.

“Walaupun itu tak benar, saya Loke, dia Lim, kalau hanya kata saya ada talian kekeluargaan dengan Guan Eng, bagi saya itu bukan apa-apa fitnah, tak ada apa-apa konotasi negatif,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Tahunan Negeri DAP Pulau Pinang 2023 di Menara Komtar, Pulau Pinang hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Siti Mastura mendakwa kononnya Kit Siang mempunyai hubungan keluarga dengan ramai pemimpin DAP termasuk Loke; Naib Pengerusi, Nga Kor Ming; Teresa Kok serta ex officio Ngeh Koo Ham.

Siti Mastura membuat dakwaan itu semasa berucap dalam program Pas di Kemaman, Terengganu, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Anthony menafikan dua pemimpin DAP itu terlibat dalam pergerakan komunis.

“Guan Eng dan Kit Siang bukan komunis, mereka adalah pemimpin DAP, kalau ada talian kekeluargaan pun, tak ada masalah.

“Beliau bangga nama keluarganya Lim, saya bangga dengan nama keluarga saya Loke,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast