KUALA LUMPUR – Seramai 22 orang pendatang asing tanpa izin (PATIi) ditahan dalam serbuan di sebuah premis pusat hiburan di Bangunan Wisma Chong Khee Soon, Jalan Dr Lim Chwee Leong, Georgetown, Pulau Pinang, kelmarin.
Penahanan Pati itu dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang susulan aduan awam dan risikan JIM berkenaan kegiatan pusat hiburan yang menawarkan wanita warga asing sebagai Pelayan Pelanggan (GRO).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, dalam operasi yang bermula pukul 10.30 malam itu, seramai 32 individu telah diperiksa.
Daripada jumlah itu katanya, seramai 22 warga asing telah ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada lima wanita Vietnam, 17 warga Thailand termasuk dua orang lelaki yang berpakaian serta perwatakan wanita.
“Semasa serbuan, sebilangan warga asing telah melarikan diri dengan naik ke tingkat
atas premis dan bersembunyi dalam stor di tingkat dua. Stor ini agak gelap serta
dipenuhi oleh barang-barang perabot dan barangan elektrik yang telah rosak.
“Pegawai serbuan terpaksa menyelongkar di celah-celah timbunan perabot tersebut
bagi mengesan kesemua suspek sehingga mereka berjaya ditahan dan ditangkap,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Ruslin lagi, hasil siasatan awal di lokasi serbuan mendapati, pusat hiburan itu menawarkan GRO wanita asing untuk melayan dan sebagai teman pelanggan berhibur.
Katanya, pelanggan perlu membeli selempang untuk dihadiahkan kepada GRO yang dipilih dengan setiap satu berharga dari RM100 hingga RM300.
Tambahnya, antara kesalahan yang dikenalpasti ialah menyalahgunakan pas jangka panjang, menyalahgunakan pas lawatan sosial dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Imigresen Juru, Pulau Pinang untuk siasatan dan tindakan lanjut, katanya.
Beliau menegaskan, operasi penguatkuasaan sebegini dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.
Sehubungan itu, orang ramai diminta menyalurkan maklumat tentang PATI atau sebarang maklumat yang boleh membantu JIM melaksanakan penguatkuasaannya. – MalaysiaGazette