Abdul Halim Suleiman

ISKANDAR PUTERI – Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mencadangkan Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman sebagai Ahli Dewan Negara dan ia diputuskan semasa sesi Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Pengumuman itu dilakukan selepas Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Dr Puad Zarkashi.

“Saya mohon membawa rundingan dan mencadangkan supaya Datuk Abdul Halim dipilih oleh dewan ini menjadi Ahli Dewan Negara bagi tempoh tiga tahun,” katanya.

Abdul Halim berusia 61 tahun pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa selama dua penggal mulai 2004 hingga 2013.

Selain itu, beliau juga pernah bertugas sebagai Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri antara tahun 2014 hingga 2018.

Beliau kini merupakan Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Johor.

Dalam pada itu, Abdul Halim ketika dihubungi memberitahu, pelantikannya itu merupakan satu amanah  yang harus dipikul dengan penuh tanggungjawab.

“Alhamdulilallah pertamanya menjunjung kasih kepada Baginda Tuanku Sultan Johor Sultan Ibrahim kerana memperkenan pelantikan saya dan kedua kepada Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan juga  Pengerusi Perhubungan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kerana kepercayaan dan memberi mandat selaku wakil dari Johor sebagai senator hari ini.

“Ini adalah satu amanah berat untuk saya pikul tetapi dengan kepercayaan daripada kepimpinan  UMNO negeri dan kerajaan negeri saya akan membawa tanggungjawab ini yang telah diamanhkan kepada saya,” katanya.- MalaysiaGazette