PUTRAJAYA – Mahkamah Rayaun hari ini memutuskan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular adalah sah.
Persidangan tiga panel hakim yang dipengerusikan Datuk Supang Lian bersama Datuk M Gunalan dan Datuk Azizul Azmi Adnan mencapai keputusan itu sebulat suara.
Kata hakim, penggunaan bahasa pengantar ini juga tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Berikutan itu, mahkamah menolak rayuan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung isu bahasa di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (SJKC dan SJKT).
Antara perayu itu termasuklah Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim), Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru).
Sebelum ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Ghazali memutuskan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah vernakular adalah sah serta berperlembagaan.
i-Guru merayu keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Mohd. Abazafree Mohd. Abbas pada 29 Mei 2022 yang menolak samannya manakala NGO pula mahu Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 yang membenarkan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah Cina dan Tamil, diisytihar tidak konsisten dengan Perlembagaan. -MalaysiaGazette