Anggota polis, Rozaidi Ramli selepas melakukan proses pengundian pos sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P040 Kemaman di IPD Kemaman, Terengganu. Foto FAREEZ FADZIL, 24 NOVEMBER 2023.

KEMAMAN – Proses pengundian pos 387 anggota polis bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman berjalan lancar.

Pegawai dan anggota polis terbabit melaksanakan tanggungjawab di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman bermula 9.10 pagi ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan tiba pada 9.45 pagi bagi meninjau proses mengundi.

Selain Polis Diraja Malaysia (PDRM), enam anggota tentera juga mengundi secara pos manakala hanya tiga orang iaitu isteri kepada tentera pula akan mengundi awal pada 28 November ini

Terdahulu, kertas undi pos diagihkan kepada anggota dan pegawai sebelum mereka mengundi dan memasukkan kertas undi ke dalam beg undi pos Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pihak polis telah menukar kaedah mengundi dari mengundi awal kepada mengundi secara pos dalam memastikan kesiapsiagaan anggota memberi tumpuan kepada kerja-kerja menyelamat dan bertugas pada musim banjir.

Sebanyak 29 pusat pengundian di Kemaman dikenalpasti sebagai lokasi berisiko banjir menjelang hari mengundi pada 2 Disember depan.

PRK Parlimen Kemaman menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi Pas. -MalaysiaGazette