KUALA LUMPUR – Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPS), Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan Rejimen 504 Askar Wataniah Kemukit Keteri Perlis telah mengadakan Majlis Perasmian Penutupan Kem Jati Diri untuk pelajar sekolah menengah terpilih.
Program itu memberi tumpuan kepada modul pembentukan akhlak belia dengan menyasarkan penglibatan daripada 60 pelajar perempuan sekolah menengah di sekitar negeri itu.
Pemangku Raja Perlis, Tengku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin serta Tuanku Puan Raja Muda Perlis, Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil telah mencemar duli ke majlis tersebut yang bertempat di Kem Rejimen 504 Askar Wataniah Bukit Keteri Perlis.
Sementara itu, antara objektif lain bagi perlaksanaan program itu adalah untuk membimbing peserta agar dapat memiliki nilai murni dan jati diri, memberi pendedahan mengenai isu-isu semasa serta melahirkan peserta yang berdisiplin dan bersemangat patriotik serta cintakan negara.
Prihatin dalam meningkat sosio-ekonomi masyarakat melalui pendidikan, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani turut bersama-sama hadir ke Majlis Perasmian Penutupan Kem Jati Diri itu.
Pada majlis sama, Syaiful Rizal memberitahu, YBR amat menyokong inisiatif pendidikan kepada semua lapisan masyarakat dan golongan belia merupakan golongan yang sentiasa mendapat perhatian YBR dalam mengembangkan potensi mereka selaku pelapis pemimpin negara.
“Diharapkan inisiatif ini dapat membantu memberi pendedahan kepada para peserta bagi membentuk kepimpinan muda pelapis yang bertanggungjawab dan berketerampilan, selaras dengan hala tuju kementerian bagi melahirkan lebih ramai lagi pelapis kepimpinan belia pada masa akan datang.
“Melalui modul-modul yang telah disediakan sedikit sebanyak dapat meningkatkan kesedaran dan motivasi para peserta untuk mempertingkatkan tahap pencapaian melalui jati diri yang utuh di samping mengamalkan gaya hidup yang sihat.
Hadir sama pada sesi berkenaan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
YBR berharap dengan penganjuran inisiatif seperti ini dapat menjadi pemangkin kepada generasi muda dalam memupuk semangat kekitaan dan perpaduan serta perasaan tanggungjawab di kalangan golongan belia agar dapat berbakti kepada keluarga, masyarakat dan juga negara. – MalaysiaGazette