Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad berjalan keluar selepas didapati bersalah terhadap sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 03 FEBRUARI 2021.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini akan memutuskan nasib bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sama ada dipenjara enam tahun, denda RM15.45 juta atau bebas sabitan kesalahan rasuah dua tahun lepas.

Mohd Isa yang juga mantan Menteri Besar Negeri Sembilan itu disabitkan salah oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh FELDA.

Difahamkan keputusan akan dibacakan oleh tiga panel hakim Panel diketuai oleh Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sekitar jam 9 pagi.

Ketika kesalahan itu dilakukan sekitar Julai 2014 hingga Disember 2015, Mohd Isa masih lagi berjawatan Pengerusi Felda.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara 54 tahun serta denda RM15.45 juta.

Mahkamah juga menetapkan penjara 18 tahun lagi andai Mohd Isa gagal membayar denda tersebut.

Namun Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan supaya semua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Ketika membuat rayuan, peguam bela Mohd Isa mendakwa anak guamnya perlu dilepas dan dibebaskan kerana tidak ada sebarang bukti membuktikan beliau telah menerima wang rasuah itu.

Tetapi Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz menolak perkara itu sambil berhujah walaupun tidak secara langsung namun Mohd Isa telah menerima wang itu melalui bekas pembantunya, Muhammad Zahid Arip Zahid.

Kata pendakwaan, bayaran itu supaya Mohd Isa tidak menggunakan pengaruhnya untuk membatal atau menangguhkan pembayaran bagi pengambilalihan hotel tersebut. -MalaysiaGazette