KUALA LUMPUR – Harga eksport Malaysia pada Oktober 2023, meningkat 1.2 peratus daripada 144.6 mata pada bulan sebelumnya kepada 146.4 mata.

Begitu juga, harga import turut naik secara marginal 0.5 peratus daripada 130.6 mata kepada 131.3 mata dan terma perdagangan Malaysia pula bertambah 0.7 peratus bulan ke bulan kepada 111.4 mata.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks nilai seunit eksport menokok 1.2 peratus pada Oktober 2023 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (+5.9%), barang-barang keluaran
kilang (+0.4%) dan bahan kimia (+0.3%).

Pada masa yang sama, indeks volum eksport meningkat 0.3 peratus selaras dengan kenaikan indeks minyak galian (+14.3%), minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+12.7%) dan barang-barang keluaran kilang (+4.9%).

Indeks volum eksport pelarasan bermusim naik 1.0 peratus daripada 154.3 mata kepada 155.9 mata. Merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit dan indeks volum masing-masing menurun 2.2 peratus.

Indeks nilai seunit import naik 0.5 peratus pada Oktober 2023, disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (+2.0%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+0.5%) dan bahan kimia (+0.4%).

Manakala indeks volum import turut berkembang 12.8 peratus pada Oktober 2023 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh kenaikan dalam indeks minyak galian (+42.3%), bahan kimia (+10.0%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+5.9%).

Indeks volum import pelarasan bermusim bertambah 10.5 peratus daripada 178.4 mata kepada 197.2 mata.

Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit import berkurang 1.4 peratus manakala indeks volum naik 1.4 peratus.

Di samping itu, terma perdagangan Malaysia menokok 0.7 peratus bulan ke bulan kepada 111.4 mata pada Oktober 2023, didorong oleh peningkatan indeks minyak galian (+3.8%), minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+0.5%) dan makanan (+0.4%).

Walau bagaimanapun, terma perdagangan Malaysia tahun ke tahun susut 0.8 peratus daripada 112.4 mata pada Oktober tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast