Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri ketika sesi penggulungan belanjawan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 09 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengendalikan 1,240 kes penderaan fizikal membabitkan kanak-kanak bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kanak-kanak itu kini berada di bawah perlindungan JKM sepenuhnya.

“Data yang ada pada saya sekarang ialah statistik kanak-kanak yang memerlukan pemerliharaan dan perlindungan sama ada kanak-kanak yang kita selamatkan daripada penganiyaan, penderaan dan beberapa faktor lain.

“Pada tahun ini, setakat bulan Ogos 2023, JKM telah mengendalikan sebanyak 1,240 kes penderaan fizikal manakala sebanyak 1,603 kes adalah membabitkan penderaan seksual kanak-kanak, 73 kes penderaan emosi, 1,530 kes pengabaian, 156 kes dibuang atau tiada ibu bapa dan 614 kes atas faktor-faktor lain yang pelbagai,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan daripada Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen di Parlimen yang meminta kementerian menyatakan statistik kanak-kanak menjadi mangsa penderaan dan memerlukan perlindungan di JKM.

Tambah Nancy, kanak-kanak yang diselamatkan daripada kes penderaan ada yang masih ditempatkan di institusi JKM.

“Manakala ada juga kanak-kanak mangsa dera yang telah ditempatkan bersama ibu bapa peliharaan dan OILS serta ada juga yang telah kembali ke pangkuan keluarga setelah dinilai bahawa keadaan dalam keluarga mereka tidak lagi mendatangkan risiko yang memudaratkan keapda kanak-kanak tersebut,” katanya.

Mohd Shuhaimi mengajukan soalan tambahan meminta kementerian menyatakan garis panduan penempatan kanak-kanak bagi mengelak insiden penderaan berulang semasa mereka bersama keluarga lain.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong menjelaskan, garis panduan penempatan kanak-kanak dengan OYLS meliputi prosedur operasi standard (SOP) selepas mereka bersama keluarga tersebut.

Jelas beliau, selepas penempatan dibuat bersama OYLS, pelindung atau individu yang dilantik mahkamah bagi kanak kanak, sama ada ahli pasukan atau individu yang difikir sesuai, akan menjalankan seliaan ke atas kanak kanak dan OYLS setiap tiga bulan mengikut tempoh perintah mahkamah.

“Pelindung akan membuat janji temu dengan OYLS bersama pelindung JKM, hadir ke pejabat JKM atau buat lawatan ke rumah.

“Manakala perbincangan bersama kanak-kanak atau OYLS dibuat dalam dua kaedah – berasingan atau bersama, menilai keperluan kanak-kanak, serta strategi dan perancangan bagi memenuhi peranan keluarga.

“Pelindung juga boleh melawat sekolah atau tempat kerja, dan adakan perbincangan dengan guru atau majikan mengenai isu serta penyelesaian dan menilai kemajuan kanak kanak tersebut,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast