Eastana Exclusive menyasarkan jualan 200,000 helai baju tradisonal Melayu dewasa sempena Aidilfitri 2024.

KUALA LUMPUR – Tidak sampai 100 hari menjelang Ramadan, Eastana Exclusive menyasarkan jualan 200,000 helai baju tradisonal Melayu dewasa menjelang Aidilfitri tahun depan.

Pengarah Eastana Exclusive, Datuk Siti Aminah Ahmad berkata, keyakinan itu berdasarkan seleksi 40 warna yang ditawarkan akan memberi banyak pilihan kepada pembeli di samping jenis kain dan jahitan kualiti tinggi.

Malah kata beliau, pemilihan selebriti popular iaitu Fattah Amin dan Ben Amir sebagai duta jenama juga mampu memberikan impak yang cukup positif kepada permintaan tinggi.

“Ini merupakan kali pertama baju Melayu jenama Eastana Exclusive akan berada di pasaran dan kami berharap agar kemunculannya diterima ramai.

“Kami telah memberikan yang terbaik dengan menawarkan kualiti dan rekaan tanpa berkompromi terutamanya dengan pemilihan dua selebriti popular sebagai duta.

“Malah sebelum bermula dengan rekaan, kami komited melakukan kaji selidik dalam pasaran agar dapat memenuhi kehendak pengguna,” katanya pada majlis pelancaran baju melayu jenama itu di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Siti Aminah menambah, syarikatnya menetapkan jumlah jualan RM10 juta pada tahun depan selepas menilai risiko dan keadaan pasaran.

Jelas beliau, bagi mengikut peredaran zaman, Eastana Exclusive turut mengorak langkah dengan meluaskan lagi jenama pasaran itu menerusi jualan atas talian.

“Sebelum memasuki pasaran, kami sudah bersedia di semua platform jualan bagi memudahkan capaian kepada pengguna.

“Buat masa ini kami aktif mengukuhkan jenama dan jualan hanya akan bermula pada hujung Disember ini. Malah kami turut merancang untuk menawarkan koleksi pakaian raya wanita pada masa akan datang,” tambah Siti Aminah.

Sementara itu, Eastana Exclusive memperkenalkan koleksi set baju Melayu tradisional dewasa dengan siri Royale, Crown Prince, Majesty dan Kurta dengan keunikan benang yang dianyam dan jahitan kemas sebagai lambang  cinta terhadap seni warisan itu. – MalaysiaGazette