Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Scammer tidak pernah ketandusan idea untuk menipu dan cara terbaharu adalah menggunakan kod OR palsu.

Oriental Daily melaporkan, penipu telah menampal kod OR palsu untuk menutupi kod QR sebenar yang terletak di kaunter bayaran sebuah restoran di Pusat Komersial Oakland di Seremban.

Keadaan itu bermakna, pelanggan akan mengimbas kod QR yang salah dan membayar ke dalam akaun penipu.

Pemilik restoran pada mulanya tidak menyedari kod QR di kaunter telah ditukar dan hanya sedar apabila seorang pelanggan yang prihatin mendapati sesuatu yang tidak kena dengan kod OR yang dipaparkan.

Pelanggan itu mendapati akaun yang dibayarnya merupakan akaun milik individu dan bukannya perniagaan, sekali gus bertanya dan membongkar penipuan yang berlaku.

Katanya, penipu dipercayai melakukan penampalan pada pagi Ahad semasa pekerja restoran kesibukan.

Pemilik restoran pula hanya menyedari kejadian itu pada sekitar tengah hari dan dia tidak mempunyai apa-apa maklumat mengenai suspek kerana tidak memasang kamera litar tertutup dalam kedai.

Susulan kejadian itu, pemilik restoran tersebut juga meminta peniaga di sekitar Seremban berhati-hati kerana penipu mungkin sudah mencetak banyak pelekat kod QR untuk pembayaran e-dompet TouchNGo

Pelekat itu dengan senangnya dapat ditampal untuk menutupi kod QR yang betul dan menjerat pelanggan membayar ke dalam akaun yang dikawal scammer. – MalaysiaGazette