KUALA LUMPUR – Perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 antara Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) malam ini pastinya mengujakan.
Rata-rata peminat yakin pasukan negeri mereka bakal muncul juara, namun di sebalik debaran tersebut, ada kebimbangan yang disuarakan kedua-dua penyokong itu.
Apa yang dirisaukan ialah pemain mereka berisiko tinggi mengalami kecederaan memandangkan permukaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil jelas menunjukkan dalam keadaan tidak sempurna.
Penyokong JDT, Amir Muhaimin berpendapat, skuad Harimau Selatan bakal membaham TFC kerana pasukan itu berpengalaman luas di pentas antarabangsa untuk beradaptasi apa jua rintangan.
“Saya yakin JDT boleh menang 2-1 walaupun jelas rumput di Stadium Nasional masih belum bersedia untuk digunakan. Tidak kisah dibadai ribut sekali pun, pasti JDT boleh menang,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Tidak rela ditewaskan dengan ‘gigitan’ skuad Penyu, Helmi Zaharudin menyerahkan segala percaturan terhadap pengendali JDT, Esteban Solari untuk memungut piala keempat pada tahun ini.
“Ayuh Johor, luaskan kuasamu ini kali kita bolot 2-0. Biar kita ulangi kejayaan tahun lalu merebut Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Liga Super walau soal padang menjadi halangan, terus yakin,” ujarnya.
Menyedari kekuatan JDT yang cukup gah dengan aura serangan dan benteng pertahanan padu, penyokong TFC, Irwan Amir hanya mengharap skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu tetap fokus sehingga ke akhir minit perlawanan.
Kali terakhir skuad Penyu beraksi di pentas akhir Piala Malaysia ialah pada 2018 di bawah bimbingan jurulatih Irfan Bakti Abu Salim.
Bagaimanapun, TFC gagal membawa pulang piala berprestij itu selepas tewas 1-4 kepada Perak FC dalam penentuan sepakan penalti di Stadium Shah Alam, Selangor.
JDT pula tiga kali merangkul Piala Malaysia dan kini komited mempertahankan gelaran itu dalam edisi kali ini, manakala TFC memburu kemenangan kedua Piala Malaysia selepas melakukannya pada 2001 – MalaysiaGazette