KUANTAN – Jika dahulu perpustakaan hanya dijadikan lokasi menelaah buku dalam suasana senyap namun kini ia sudah berkonsepkan edutourism.
Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP), Nor Zahira Muhammad Azmi berkata, penganjuran Program Klinik BMX disertai oleh 30 peserta dalam kalangan pelajar sekolah menengah di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pahang (PPAP) hari ini menukarkan mod senyap khutub khanah kepada aktiviti sukan berbasikal.
”Dulu kita tahu perpustakaan ini hanya senyap tapi kita nak hidupkan suasana hiburan sambil menerokai ilmu. Kita tak nak orang pandang perpustakaan ini sebagai hanya tempat baca buku.
”Jadi program ini dapat memberikan pendedahan kepada orang ramai mengenai sukan BMX dan mengcungkil bakat baharu.
”Secara tidak langsung perpustakaan boleh jadi medium mendekatkan remaja dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat,” katanya.
Seminar yang dianjurkan oleh PPAP dengan kerjasama Folo BMX dan BMX Kuantan itu pertama kali diadakan untuk mencungkil bakat pemain baharu.
Sesi pengenalan diadakan pada waktu pagi kepada peserta dan diteruskan dengan sesi amali oleh tokoh sukan BMX, Sheikh Muhammad Taslum Sheikh Razif bagi melatih cara menggunakan kemahiran basikal.
Sementara itu, Putra Ahmad Danish Ahmad Fitri,15, antara peserta menyifatkan program seumpama itu dapat memberi pengalaman berharga apabila dapat menguasai tiga kemahiran dalam temboh beberapa jam sahaja.
”Memang dari kecil main basikal tapi bila dapat sertai klinik ini saya dapat bermain secara profesional. Selepas ini kalau terpilih menjadi pelapis nak fokus sukan permainan basikal secara serius,” katanya.
Manakala Muhammad Syazwan Mustaqim,15, teruja mempelajari teknik permainan sukan basikal BMX yang sememangnya popular di luar negara.
”Saya dari Permatang Badak, ada kumpulan berbasikal tapi bila tahu cara yang betul bermain BMX ini boleh kita kongsikan bersama kawan-kawan,” katanya. – MalaysiaGazette