Datuk R. Ramanan

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R Ramanan dilantik Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Ramanan yang juga Pengerusi Unit Tranformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) ‘popular’ sejak akhir-akhir ini kerana berjaya mengembalikan imej unit masyarakat India yang sentiasa terpalit pelbagai skandal sejak 10 tahun ini.

Untuk makluman Ramanan dilahirkan dalam keluarga yang lama berkecimpung dalam arena politik, sejak zaman pra-kemerdekaan lagi. Nenek beliau ialah wanita pertama memegang jawatan awam di Tanah Melayu sebelum merdeka iaitu Tan Sri Devaki Krishnan.

Nama Ramanan kembali ‘gah’ apabila tampil mengalahkan calon ‘heavyweight’ yang juga bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin pada Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lalu sekaligus menjadi perhatian ramai.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, kata Ramanan, beliau bersedia berkhidmat untuk rakyat terutamanya dalam memperkasakan golongan tidak berkemampuan serta muda melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi ini.

“Memikul tanggungjawab besar dalam Mitra untuk memastikan setiap sen daripada peruntukan RM100 juta yang merupakan amanah itu telah memberikan saya pengalaman cukup berharga dan akan saya gunakan sebaiknya. Berkecimpung dalam dunia politik juga bukan baharu sebaliknya sejak zaman nenek saya lagi.

“Sememangnya saya telah ditakdirkan untuk bersama masyarakat dan berkhidmat sebagai wakil rakyat dengan sebaik mungkin, ini adalah amanah yang akan saya pegang dan pikul, doakan saya,” ujarnya.

Untuk makluman selain Ramanan, beberapa muka baharu yang dilantik Timbalan Menteri termasuklah tokoh akademik dan bekas Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Zulkifli Hasan dilantik Timbalan Menteri di Jabatan Agama (Hal Ehwal Agama).

Juga Datuk Seri Noraini Ahmad yang merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, M Kulasegaran Timbalan Menteri Undang-Undang, Wong Kah Woh Timbalan Menteri Pendidikan.

Jawatan untuk Timbalan Menteri juga telah meningkat daripada 27 kepada 29 dalam Kerajaan Perpaduan dalam rombakan pagi tadi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast