Chang Lih Kang

KUALA LUMPUR – Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle)  menjalinkan kerjasama dengan Startup India untuk menubuhkan inisiatif India – Malaysia Startup Bridge baru-baru ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, Cradle Fund merupakan sebuah agensi fokal ekosistem startup negara di bawah kementeriannya manakala Startup India adalah sebuah agensi di bawah Kerajaan India.

Menurut beliau, kerjasama India – Malaysia Startup Bridge bertujuan untuk memperkasakan startup tempatan, inkubator dan bakal usahawan di Malaysia dan India dengan melancarkan akses pasaran di kedua-dua negara serta memanfaatkan peluang sedia ada.

“Usaha ini dijangka akan memberi manfaat kepada 3,800 startup yang disenaraikan dalam portal MYStartup yang dikelolakan oleh Cradle dan kira-kira 116,000 startup di India yang berdaftar di bawah Startup India.

“Langkah ini mencerminkan hubungan dua hala yang erat antara dua negara ini. Kerjasama melangkaui sempadan ini juga merangkumi peluang rangkaian dalam kalangan startup, pertukaran amalan operasi terbaik dan sesi pembangunan kapasiti,” katanya dalam satu kenyataan.

Hubungan kerjasama itu dimeterai dalam sesi pertukaran surat kerjasama antara Cradle dan Startup India yang disaksikan oleh beliau dan Timbalan Menteri Luar Negeri India,  P. Kumaran.

Tambah Chang, insiatif itu juga selari dengan matlamat yang digariskan di bawah Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030 iaitu untuk membantu startup tempatan menembusi pasaran global serta membantu meningkatkan daya saing mereka.

Beliau berkata, pihaknya menyambut baik kerjasama dengan Kerajaan India dalam memajukan sains, teknologi dan inovasi (STI) khususnya dalam bidang teknologi angkasa lepas, nuklear, semikonduktor, nanoteknologi, hidrogen, bioteknologi termasuk pembangunan vaksin dan dalam bidang-bidang lain yang boleh membantu mengukuhkan ekosistem startup dan inovasi dari peringkat akar umbi.

Menurutnya, kerjasama ini membolehkan membantu startup, pelabur, inkubator dan bakal usahawan daripada kedua-dua negara untuk berhubung antara satu sama lain, dalam masa yang sama, menyediakan keperluan untuk mereka mengembangkan bisnes ke peringkat global. – MalaysiaGazette