Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang disyaki menunjukkan kemaluan semasa berada dalam Mass Rapit Transit (MRT) pada Selasa minggu lalu diberkas polis di Bandar Sungai Long, Kajang, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisoner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu pada jam 9.32 malam 5 Disember lalu daripada seorang wanita.

“Mangsa berusia 22 tahun mendakwa seorang lelaki tempatan telah menunjukkan alat kemaluan ke arahnya ketika berada di dalam gerabak MRT” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, siasatan awal terhadap suspek yang 31 tahun itu mendapati kejadian berlaku semasa suspek berada di dalam salah sebuah gerabak MRT dari Stesen Kepong Baru ke Stesen Metro Prima, Kuala Lumpur.

“Suspek juga mengaku dia dengan sengaja menunjukkan kemaluannya ke arah pengadu semasa berada di dalam gerabak tersebut,” ujarnya sambil menambah suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan akan direman bagi membantu siasatan.

Menurut Sukarno, setakat ini suspek tiada kecenderungan ke arah masalah mental dan tiada saksi atau penumpang MRT lain yang membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu tindakan mengeluarkan perkataan atau menunjukkan isyarat yang dimaksud bagi mengaibkan kehormatan seseorang dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil kerana berkelakuan tidak sopan. -MalaysiaGazette