Zolkifly Md. Lazim

PULAU PINANG – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Bahang, Zolkifly Md. Lazim yang dikekalkan status sebagai wakil rakyat berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 8 Disember lalu bercadang mengambil tindakan saman terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang dan Speaker Dewan Undangan Negeri.

Keputusan mahkamah itu mengekalkan Zolkifly dari parti Bersatu sebagai ADUN Telok Bahang dalam tempoh Mei 2018 hingga Jun tahun ini.

Hakim Anand Ponnudurai membuat keputusan Zolkifly dan seorang lagi wakil rakyat, Khaliq Mehtab (Bertam) kekal sebagai wakil rakyat serta berhak mendapat semua bayaran kewangan yang perlu dibayar kepada mereka bagi tempoh sehinggu DUN dibubarkan ketika itu.

Mahkamah Tinggi dalam keputusan memutuskan dua ADUN Bersatu itu tidak kehilangan kerusi di DUN kerana peruntukan anti-lompat parti negeri tidak terpakai ke atas mereka.

Zolkifly sebelum ini disingkirkan sebagai ahli DUN pada 6 Mac lalu susulan usul yang dibuat mengikut undang-undang anti-lompat parti negeri.

Menurut Zolkifly, langkah menyaman kerajaan negeri dan speaker berikutan tindakan yang diambil terhadap dirinya yang dikatakan melanggar undang-undang anti-lompat parti negeri.

Beliau berkata, antara tindakan terhadap dirinya ekoran penyingkiran itu termasuk merampas senjata api miliknya serta kehilangan hak yang melibatkan kemudahan disediakan kerajaan seperti tiket kereta api dan sebagainya.

“Malah sebelum ini pun saya dimalukan semasa sidang DUN di mana saya dituduh sebagai ‘katak lompat’. Tapi semuanya kini telah terbukti dan terjawab bahawa saya berada di pihak yang benar apabila mahkamah tinggi membuat keputusan,” katanya baru-baru ini.

Menjawab pertanyaan lain, Zolkifly berkata, berikutan keputusan mahkamah itu, sehingga kini tiada pihak daripada kerajaan negeri Pulau Pinang yang menghubunginya.

“Saya sedang berbincang dengan peguam saya untuk mengambil tindakan saman tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast