Anglo-Amerika
Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR –  Isu mengenai Perdana Menteri dalam kalangan bukan Melayu ditimbulkan hanya untuk menimbulkan persepsi terhadap orang Melayu, kata Datuk Seri Mohamad Sabu.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, orang Melayu tidak perlu risau kerana kaum itu masih lagi merupakan golongan majoriti di negara ini.

“Orang Melayu masih majoriti, kenapa nak bincang hal itu? Ia sengaja dimainkan untuk melahirkan persepsi orang Melayu.

“Melayu semakin ramai beranak (kaum) Cina tak mahu beranak. Itu sengaja dimainkan perangkap untuk ke arah nak memerangkap minda rakyat supaya melihat PN (Perikatan Nasional) yang menyelamatkan kedudukan mereka (kaum Melayu),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Pemuda Amanah Nasional 2023 di Bangsar South hari ini.

Mohamad berkata demikian mengulas saranan pemimpin PN yang mencadangkan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminda Perlembangaan Persekutuan berhubung perkara yang sama.

Ia selepas Ahli Parlimen Machang yang juga Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencadangkan agar kerajaan meminda perlembagaan supaya hanya orang Melayu-Islam boleh menjadi perdana menteri.

Semalam, Anwar menegaskan, kerajaan tidak berhasrat untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan hanya calon daripada kaum Melatyu dicalonkan sebagai Perdana Menteri.

Malah Anwar berkata, calon PM daripada pembangkang juga masih merupakan calan daripada kaum Melayu begitu daripada pihak kerajaan. – MalaysiaGazette