Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

KUALA LUMPUR – Penemuan stoking di lokasi mayat kanak-kanak autisme yang dibunuh, Zayn Rayyan Abdul Matiin ditemui bukan milik mangsa.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang mendedahkan hasil analisa dijalankan oleh makmal mendapati keputusannya negatif.

Menurut beliau, setakat ini belum ada apa-apa perkembangan baharu namun polis terus giat menjalankan usaha pencarian di lokasi kejadian di Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya.

“Stoking yang ditemui bukan milik mangsa. Hasil analisis makmal sudah keluar dan ia negatif. Kita sudah merakam 172 keterangan yang merangkumi ibu bapa, saksi, jiran, kenalan dan penduduk setempat di apartment itu,” katanya kepada media ketika dihubungi.

Beberapa hari lepas, polis telah mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor bagi membantu menyedut keluar takungan air di lokasi penemuan mangsa untuk melihat sama ada wujud sebarang bukti baharu.

Ketika itu juga polis menemukan sehelai stoking dalam kawasan takungan air di anak sungai berhampiran lokasi.

Kanak-kanak berusia enam tahun itu dilaporkan hilang pada 5 Disember lepas di Damansara Damai sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman pada keesokannya.

Tinjauan MalaysiaGazette awal pagi ini juga mendapati beberapa anggota polis dan forensik berada di kawasan anak sungai selain keluar masuk kawasan rumah mangsa di Blok R, Aparment Idaman. – MalaysiaGazette