Zulkarnain Mahdar

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Bung Moktar Radin diingatkan tidak melangkaui kuasa presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk menentang parti komponen Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, walaupun UMNO Sabah telah diberikan hak autonomi, namun keputusan besar membabitkan UMNO perlu melalui MKT dan presiden parti.

“Harus diingat Bung Moktar bukan Presiden UMNO sebaliknya hanya Pengerusi UMNO Sabah.

“Setiap keputusan besar membabitkan UMNO di Sabah termasuk cadangan bekerjasama dengan Warisan untuk menentang GRS dan PH, lazimnya diputuskan bersama MKT dan presiden parti.

“MKT dan Presiden UMNO masih belum membuat sebarang keputusan untuk bekerjasama dengan Warisan bagi menentang GRS dan PH dalam PRN Sabah,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Warisan akan menjalin kerjasama dengan UMNO dalam PRN Sabah akan datang untuk menentang kerajaan negeri yang kini ditadbir GRS.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, ia tidak mustahil kerana pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menjalin kerjasama dengan UMNO demi kepentingan rakyat Sabah.

Sementara itu, Bung Moktar Radin juga mengakui pihaknya tiada halangan menjalin kerjasama dengan Warisan dan setakat ini pihaknya belum melakukannya secara rasmi.

Dalam pada itu, Zulkarnain berkata, tindakan kedua-dua pemimpin itu dilihat terdesak untuk mencari talian hayat khususnya Mohd Shafie yang mahu menyelamatkan Warisan.

“Kedua pemimpin itu dilihat begitu gopoh dan menyerlahkan lagi kelemahan mereka di mata seluruh rakyat Sabah.

“Rakyat Sabah sebenarnya secara total telah menolak Warisan selepas hanya menang tiga kerusi pada PRU15 lalu, malah penolakan itu tetap tidak akan berubah menjelang PRN Sabah akan datang.

“Rekod cemerlang Datuk Seri Hajiji Noor mengemudi Sabah ketika ini secara jelas menunjukkan majoriti rakyat amat selesa dengannya berbanding Bung dan Shafie.

“Malah dapatan kajian daripada dua badan bebas juga turut mengesahkan perkara itu,” katanya.

Katanya lagi, kedudukan rizab kewangan Sabah ketika ini yang banyak hasil limpahan pelabur luar ke Sabah menjadi pendorong kepada kedua-dua pemimpin itu untuk menumbangkan Hajiji.

“Kedua pemimpin ini juga tidak menghiraukan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini apabila secara terbuka menyatakan sokongan kepada Hajiji.

“Pada 7 Disember lalu, Perdana Menteri telah menyatakan Kerajaan Perpaduan kekal dengan pendirian menyokong kepimpinan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast