Mohd Iqbal Ibrahim

KUALA LUMPUR – Polis akan merakam keterangan suspek yang disyaki terbabit kes gangguan seksual terhadap seorang pelajar perempuan tingkatan dua sebuah sekolah menengah di Shah Alam, hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, rakaman keterangan itu susulan siasatan mendapati mangsa menerima ugutan rogol dan dipukul pada bahagian dada oleh seorang pelajar lelaki tingkatan dua.

Pelajar lelaki itu daripada sekolah yang sama.

Menurutnya, pelajar perempuan itu sudah mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi kecederaan yang dialaminya.

“Pihak polis telah menerima laporan berkaitan kejadian ini pada 15 Disember 2023 jam 2.02 minit petang oleh mangsa dalam kes ini yang merupakan seorang pelajar perempuan Melayu tingkatan dua di sebuah sekolah kerajaan telah menerima ugutan rogol dan dipukul pada bahagian dada oleh satu pelajar lelaki tingkatan dua yang dikenali daripada sekolah yang sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang membawa hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat.

Dalam pada itu beliau menasihatkan supaya orang ramai bertenang dan jangan terlalu cepat membuat kesimpulan sebelum siasatan oleh pihak polis selesai.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mira Noraien di talian 011-1143 0765.

Kes ini tercetus selepas tular dalam media sosial mengenai perkongsian seorang lelaki tentang anaknya diugut rogol oleh seorang pelajar lelaki dari sekolah yang sama.

Lelaki itu mendakwa, apabila kes itu dibawa ke pengetahuan pihak pentadbiran, guru memaklumkan pelajar lelaki itu adalah autism dan banyak laporan diterima berkait isu sama sebelum ini. – MalaysiaGazette