KUALA LUMPUR – Pertumbuhan global yang sederhana serta permintaan luaran yang lemah terhadap barangan Malaysia mendorong penguncupan jumlah perdagangan terutamanya eksport.

Jumlah perdagangan menyusut 2.4 peratus kepada RM231.8 bilion dan eksport berkurang 5.9 peratus kepada RM122.1 bilion.

Sebaliknya, import kembali merekodkan peningkatan 1.7 peratus kepada RM109.7 bilion, tahun ke tahun setelah lapan bulan berturut-turut merekodkan kejatuhan.

Lebihan dagangan pada bulan November 2023 pula menurun 43.1 peratus kepada RM12.4 bilion pada November 2023 seperti yang dilaporkan hari ini.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport Malaysia merosot pada November 2023 selaras dengan penurunan eksport domestik.

Eksport domestik bernilai RM95.9 bilion yang menyumbang 78.5 peratus kepada jumlah eksport, berkurang 7.4 peratus.

Manakala, eksport semula berjumlah RM26.2 bilion, menokok secara marginal 0.1 peratus berbanding November 2022.

Import pada November 2023 bernilai RM109.7 bilion, meningkat 1.7 peratus berbanding bulan yang sama tahun lepas.

Sementara itu, lebihan dagangan dengan jumlah RM12.4 bilion merupakan lebihan dagangan ke-43 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

Berbanding Oktober 2023, prestasi eksport, import, jumlah dagangan dan lebihan dagangan kembali merekodkan penyusutan masing-masing 3.2 peratus, 3.1 peratus, 3.1 peratus dan 3.8 peratus.

Meninjau dari sudut kumpulan barangan, 125 daripada 257 kumpulan barangan eksport menunjukkan penurunan, manakala 146 daripada 258 kumpulan barangan import meningkat berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Mohd Uzir berkata, eksport yang lebih rendah disumbangkan oleh penurunan terutamanya ke Singapura (-RM3.7 bilion) diikuti oleh Jepun (-RM1.6 bilion), China (-RM1.6 bilion), Hong Kong (-RM1.2 bilion) dan Amerika Syarikat (-RM1.2 bilion).

Sementara itu, peningkatan import terutamanya disumbangkan dari Singapura (+RM2.4 bilion) diikuti oleh Arab Saudi (+RM1.4 bilion), Amerika Syarikat (+RM1.0 bilion) dan Thailand (+RM545.7 juta).

Mengulas lebih lanjut mengenai eksport, penyusutan selaras dengan pengurangan eksport barangan elektrik & elektronik (-RM7.3 bilion); kimia & bahan kimia (-RM1.1 bilion); dan kelengkapan pengangkutan (-RM1.0 bilion).

Sementara itu, pertambahan import dicatatkan bagi kelengkapan pengangkutan (+RM1.8 bilion); petroleum mentah (+RM1.1 bilion); dan keluaran petroleum (+RM774.4 juta). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast