Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan pelabur kekal berhati-hati sementara menunggu panduan ke hadapan dalam persekitaran ketidaktentuan pasaran global, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, ringgit susut kepada 4.6950/7025 berbanding dolar AS daripada 4.6920/6965 semalam.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mata wang tempatan dijangka diniagakan dalam jajaran kecil hari ini berikutan pelabur bersedia untuk menerima pengumuman dasar oleh bank-bank global.

“Tumpuan hari ini adalah pada mesyuarat dasar Bank of Japan (BoJ) berikutan peniaga mata wang sedang mencari petunjuk mengenai kemungkinan keboleh-balikan dasar monetarinya yang amat longgar.

“Kebanyakan ahli ekonomi menjangkakan BoJ akan mengekalkan kadar faedah penanda arasnya pada -0.1 peratus dalam mesyuarat ini,” katanya kepada Bernama.

“Bagaimanapun, berdasarkan panduan terkini oleh Rizab Persekutuan AS, unjuran untuk pengurangan kadar kekal kukuh. Oleh itu, kami menjangka ringgit berbanding dolar AS akan kekal dalam jajaran kecil hari ini,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding pound kepada 5.9411/9505 daripada 5.9434/9491 pada Isnin, rendah berbanding euro kepada 5.1269/1351 daripada 5.1232/1281 semalam dan merosot berbanding yen Jepun kepada 3.2938/2993 daripada 3.2926/2960 sebelum ini.

Begitu juga, mata wang tempatan diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang ASEAN.

Ia merosot berbanding peso Filipina kepada 8.41/8.43 daripada 8.40/8.41 pada Isnin dan berkurangan berbanding rupiah Indonesia kepada 302.6/303.3 daripada 302.4/302.9.

Ringgit hampir tidak berubah berbanding dolar Singapura kepada 3.5248/5307 daripada 3.5249/5285 semalam dan merosot berbanding baht Thailand kepada 13.4335/4623 daripada 13.4042/4228 sebelum ini.

— BERNAMA