KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga tempatan berusia 26 tahun meninggal dunia selepas dipercayai ditikam beberapa kali oleh seorang lelaki di tempat letak kereta di Jalan Bayu Tinggi 5, Taman Chi Liung, Klang semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, sebelum kejadian, wanita berkenaan berjumpa dengan suspek berusia 44 tahun di sebuah restoran di sekitar Jalan Bayu Tinggi 6 pukul 1.20 petang.
“Setelah selesai makan tengah hari, suspek dan si mati telah pergi ke lokasi tempat letak kereta di Jalan Batu Tinggi 5. Apabila sampai di kereta jenis Chevrolet warna silver, suspek menikam beberapa kali badan mangsa menggunakan pisau dan kemudian memasukkannya dalam kereta sebelum beredar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Hoong Fong, suspek kemudiannya cuba mengejutkan mangsa namun gagal.
Sejurus selepas itu, lelaki tersebut bertindak mencederakan dirinya dengan menikam tangannya dengan pisau yang sama digunakannya untuk membunuh mangsa.
Jelasnya, bertindak atas aduan sepasukan polis dari cawangan D9 IPD Klang Selatan berjaya menangkap suspek di kediamannya pukul 4.20 petang.
“Pemeriksaan lanjut juga mendapati seorang wanita berada di tempat duduk penumpang hadapan kereta suspek dalam keadaan tidak sedarkan diri. Pihak ambulan yang tiba di lokasi kemudian mengesahkan kematian mangsa,” tambahnya.
Katanya, turut dirampas sebilah pisau yang dipercayai digunakannya untuk membunuh wanita tersebut.
Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Suspek juga direman sehingga Isnin depan.
“Jika disabitkan kesalahan suspek hendaklah dihukum gantung atau penjara tidak kurang 30 tahun tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga disebat tidak kurang 12 kali. Suspek yang ditangkap tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
“Polis masih menjalankan siasatan untuk mengetahui punca kejadian dalam masa yang sama pegawai penyiasat sedang melengkapkan siasatan seterusnya akan merujuknya kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” katanya lagi.
Sementara itu hasil bedah siasat terhadap mangsa mendapati banyak kesan tikaman di badannya termasuk di dada yang menembusi jantung sekaligus menjadi punca kematian.-MalaysiaGazette