.Hattan dan M Nasir berkolaborasi mementaskan Konsert Sifu dan Aku yang bakal menggegar Kota Kinabalu pada 3 Februari depan.

KUALA LUMPUR – Dua legenda muzik nusantara, Datuk M. Nasir dan Datuk Hattan bakal menggegarkan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini dalam Konsert Sifu dan Aku pada 3 Februari 2024.

Buat julung kali, konsert itu menampilkan penggiat seni yang layak digelar ‘guru’ dan ‘murid’ dengan masing-masing berjaya menempa nama dalam industri muzik tempatan.

Konsert Sifu dan Aku dilihat sebagai acara unik dan istimewa kerana menampilkan dua seniman berbakat selain menonjolkan apresiasi dan sanjungan antara ‘guru’ dan ‘murid’.

M. Nasir menganggap Konsert Sifu dan Aku sebagai cabaran buat dirinya selepas lebih empat dekad bergelar anak seni.

“Saya anggap persembahan ini sebagai satu cabaran kerana saya dan Hattan sudah lama bersahabat. Hattan menyerlahkan bakatnya selepas menyanyikan lagu saya. Dia adalah ‘anak buah’ saya dalam dunia rakaman.

“Selepas sekian lama bekerjasama dengan Hattan, kali ini kami berkongsi pentas dan peminat akan melihat terbuktinya kombinasi kami.

“Saya pasti peminat di Sabah menantikan konsert ini,” katanya pada sidang media Konsert Sifu dan Aku di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Hattan berjanji membawa peminat mengikuti perjalanan hidupnya sejak mula bertapak hingga status penghibur diraih sekarang.

“Bermula dengan belajar menerbitkan lagu, menyanyi dan semua perkara membabitkan seni yang saya belajar daripada M. Nasir.

“Konsert ini dianggap klimaks kepada perguruan saya bersama M. Nasir. Saya mahu menjadikan konsert ini sebagai memori indah dalam karier seni saya.

“Jadi, pada malam itu, kami menyanyikan semua lagu hit. Ini bakal menjadi pengalaman yang tidak akan dilupakan,” katanya.

Hattan berkata, banyak pengalaman dan detik menarik seperti projek penerbitan album khusus untuk rakyat Palestin akan dikongsi pada konsert terbabit.

Sementara itu, Konsert Sifu Dan Aku ini dianjurkan oleh Ochee Purnama Sdn Bhd dan HS Shazlicious Trading dengan kerjasama Borneo Excursions dan Angkatan Hebat Group.

Sementara radio rasmi adalah Era Sabah.

Dalam pada itu, Borneo Excursions adalah agensi pelancongan rasmi untuk Konsert Sifu Dan Aku yang menawarkan tiket konsert, pakej pelancongan, pengangkutan dan hotel dengan harga yang menarik.

Tiket konsert boleh didapati di https://ilassotickets.com/event/konsert-sifu-aku/ pada harga RM988 (VIP- tempat duduk bernombor), RM488 (tempat duduk bebas), RM388 (tempat duduk bebas), RM288 (tempat duduk bebas) dan RM188 (tempat duduk bebas). – MalaysiaGazette