Keadaan Lapangan Terbang Jeju yang diliputi salji tebal. Foto Yonhap

SEOUL – Cuaca sejuk berterusan di Korea Selatan menyebabkan gangguan di seluruh negara, termasuk operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju.

Lebih 8,000 penumpang terkandas di lapangan terbang itu selepas landasan digantung pada pagi Jumaat akibat salji lebat dan angin kencang, lapor The Korea Herald.

Cuaca ekstrem itu menyebabkan pembatalan lebih 260 penerbangan ke dan dari Pulau Jeju setakat petang Jumaat.

Angka ini termasuk 137 ketibaan domestik dan 122 pelepasan.

Lapangan terbang itu kembali beroperasi selepas lebih 7 jam selepas selesainya operasi pengalihan salji di landasan, tambah The Korea Herald, memetik kenyataan Lapangan Terbang Jeju.

Agensi berita itu menambah, masa penerbangan sebenar masih berbeza-beza walaupun operasi lapangan terbang telah disambung semula kerana sayap dan fiuslaj pesawat perlu dicairkan.

Gelombang sejuk memuncak pada pagi Jumaat, lapor agensi berita Yonhap, selepas menjunam -14.7 darjah Celsius di Seoul.

Banyak wilayah lain merekodkan suhu minimum yang jauh lebih rendah daripada ibu negara, termasuk Wilayah Gangwon, yang mencatatkan suhu terendah pagi di bawah -20 darjah Celsius, menurut pihak berkuasa cuaca.

Angin kencang dengan kelajuan lebih 55kmj menguatkan lagi cuaca sejuk di kebanyakan wilayah, tambah Yonhap.

Terdapat juga kerosakan berlaku di seluruh negara akibat cuaca, dengan lebih 200 kes meter air beku dan pecah, termasuk 90 di Seoul setakat 11 pagi, menurut Yonhap.

Salji lebat turut menjejaskan operasi 46 kapal penumpang di 38 laluan dan kemasukan ke 91 denai di enam taman negara, lapor Yonhap.

Ia juga menyebabkan kemalangan jalan raya, kenderaan terkandas dan kecederaan akibat terjatuh. – Agensi